Jam baru sahaja menunjukkan ke angka tiga. “Hmm dah pukul tiga rupanya, patutlah mata rasa berat semacam. Cepat betul masa berlalu.” Sekian lama aku menghadap laptop sejak pulang dari program Forum Belia di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Hulu Langat hingga kini, semangatku untuk menyambung penulisan tesisku masih belum kunjung tiba. Entah mengapa perasaanku seakan sedikit hiba malam ini. Adakah ia petanda sesuatu yang tak baik akan berlaku. “Ah jauh sangat aku berfikir” Aku kembali beristighfar. “Tidur je lah.. sambung esok je…” Gumam hatiku.
Baru sahaja aku ingin menutup laptopku aku perasan seakan ada seseorang dibelakangku. Bila ku kilas kebelakang rupanya sahabatku Leza sedang duduk berhadapan dengan Ila. Leza seperti sedang menenangkan Ila. Apa yang terjadi kenapa aku tak perasanpun mereka berada di situ. Lah rupanya telingaku disumbat dengan earphone. Pandanganku bertembung dengan Leza, aku membaca gerak bibirnya. Sebaik sahaja aku faham apa yang disampaikan oleh Leza. Aku terus terlompat bangun ibarat terkena kejutan eletrik. Kakiku pantas mendapatkan Ila lantas mendakapnya. “Pukul berapa adik Ila meninggal?” Aku cuba menutup gemuruh yang sedang mengalir di dadaku. “Baru je tadi Kak Rose” Ila berkata dalam nada sebak yang ditahan-tahan. Kulihat airmatanya luruh jua. “Takpe dik nangislah.. Cuma orang gila aje yang takkan menangis kalau benda ni berlaku. Lagipun itu memang orang yang Ila sayang.” Aku cuba juga berkata sesuatu setelah sekian lama terdiam. Aku hanya mampu mengusap-usap lembut bahunya. Kuharap dapatlah sedikit keperitan yang sedang Ila tanggung akan mengalir padaku. Biar aku sama-sama merasakannya. Biar lapang sedikit dadanya. Suasana kembali senyap. Aku, Leza dan Ila kehilangan kata-kata....
Peristiwa di atas ibarat adengan sebuah drama di dalam tv. Tapi memang itulah yang benar-benar berlaku yang akan ditayangkan kembali oleh Allah dipadang mahsyar nanti.
Sesungguhnya itulah jawapan yang telah diberikan oleh Allah kepada adik sahabatku yang telah sekian lama menanggung derita kerana kerakusan SLE. Pohonan yang terbaik dari Allah telahpun di jawabNYA dengan pemergian Suffi semuda usia 19 tahun. Berakhir sudah coretan hidupnya. Dia telah kembali ke hadrat Ilahi bersama amalannnya.
Perasaanku bercampur-baur antara hiba dan juga gembira. Hiba kerana turut merasakan kepedihan yang ditanggung Ila an keluarganya kehilangan insan yang disayangi. Gembira pula kerana adiknya telah berjaya melepasi ujian terakhir seorang manusia iaitu sakaratulmaut. Selain itu kesakitan yang ditanggung selama ini akibat penyakitnya telah turut berakhir. Mudah-mudahan Suffi pulang ke hadrat Ilahi dengan keadaan yang suci bersih tanpa sebarang palitan dosa silam. Penyakit SLE yang ditanggung sekian lama memungkinkan Allah mengampunkan segala dosa dan menggantikannya dengan kebajikkan yang banyak. Bukankan kesakitan itu penghapus dosa....
Segala kisahnya sudah berakhir dengan pengakhiran yang baik... bagaimana pula KITA....
“Tiap jiwa (yang bernafas) itu akan merasai mati" - (surah Ali Imran : ayat 185)
"Setiap diri (yang bernyawa) mesti merasai mati" - (surah Al-Anbiyaa' : ayat 35)
"Setiap diri (manusia) mesti merasai mati" - (surah Al-Ankabut (57)
Insan yang merindui kematian
Rose
4.13 am, 3 March 2010
No comments:
Post a Comment