Monday, January 24, 2011

Sudah terbalaskah jasa ibu dan ayah???

Assalamualaikum wbt.....






"Rose dah tahu ke keputusan awak?" Cikgu yang agak ku geruni menyapa. Aku hanya tegar mengangguk sambil menundukkan kepala. Terasa kecut juga hatiku.

"Awak puas hati ke dengan keputusan awak?" Soalnya lagi. Aku sekali lagi mengangguk-angguk. Bukan katanya yang menjadi tumpuan tetapi rakan-rakanku yang sedang terlompat-lompat bermain teng teng di belakang cikgu lebih menarik perhatianku. Aku berdoa dalam hati, cepat-cepatlah cikguku ini berlalu. Dah tak sabar nak sambung main ni.

"Hmm..." Aku cuma terdengar keluhan guruku. Bila ku angkat kepala dia telahpun mengatur langkah meninggalkanku. Apa lagi terusku berlari mendapatkan rakan-rakanku dan meneruskan permainanku yang tergendala. Terlompat-lompat aku kegirangan maklumlah dah habis periksa UPSR dan dah tahu keputusanpun. Tiada lagi kelas yang dijalankan jadi apalagi main sahaja lah aktivitiku dengan rakan-rakaku kini.

Aku tidak faham kenapa guruku bersikap demikian. Ah... biarlah bukan teruk sangat keputusanku. Kira oklah tu berbanding rakan-rakanku yang lain.

Kringgg.. loceng penamat waktu sekolah telah berbunyi. Aku terus berlari mendapatkan ibu yang seperti biasa telah menungguku di bawah pokok kundang di depan sekolah. Ku lihat wajah ibu penuh pengharapan dan serasanya aku tahu apakah soalan pertama yang akan terpacul dari mulutnya.

"Macamana keputusan UPSR adik?" Memang tepat tekaanku. "Bolehlah ibu." Jawabku sambil lewa. Ku lihat ibu tertunduk selepas mengetahui keputusanku yang alah kadar. Sepanjang perjalanan balik ibu terus senyap. Tiba-tiba aku merasa seperti ada titisan air jatuh di tanganku yang memeluk erat pinggang ibu. Ku dongakkan kepala ke langit tiada pula tanda-tanda hujan atau gerimis yang turun ketika itu. Ku biarkan sahaja malas untuk ambil kisah kerana badanku telah cukup penat bermain tadi.

Namun apabila aku sampai ke rumah barulah aku tahu. Rupanya air yang terkena di tanganku adalah airmata suci ibu. Ternyata ibu amat kecewa dengan keputusan UPSRku yang memang tidak seberapa. Ya Allah... hatiku di pagut rasa bersalah yang amat dalam. Aku dah buat ibu menangis ya Allah. Tiada apa yang mampu ku katakan dan ku lakukan selain terpunduk menangis. Aku memang tiada pilihan selain menyalahkan diriku sendiri. Memang salahku.

Itulah peristiwa yang telah benar-benar mengubah tekad dan pendirianku. Selepas itu tiada lagi erti main-main bagiku terutamanya tentang pelajaran. Airmata ibu menjadikan aku benar-benar menaggung hutang yang tidak terbayarkan. Apa yang boleh aku lakukan ialah terus memahat tekad bahawa aku TIDAK akan membuat ibu menangis lagi, kecuali tangisan kerana kegembiraan, kerana bangga dengan anaknya yang terakhir ini. Pada Allah ku patrikan janji ini... Ku terus menghambat jiwa dengan semangat membara agar ibu TIDAK AKAN MENANGIS LAGI.....

~~~~~~~~~*****~~~~~~~~

Inilah antara mehnah yang dihadapi oleh hati seorang ibu. Yang Allah kurniakan dengan kesabaran yang tiada tolok bandingan. Walaupun susu dan madu yang dicurahkan pada kita selalunya kita balas dengan tuba dan duri selumbar.

Sekiranya kita boleh bentangkan hati ibu dan ayah kita pasti kita dapat melihat betapa banyak parut dan luka dengan pelabagai saiz dan kedalaman yang telah disebabkan oleh kita sebagai anak. Itu belum kira kerenah adik-beradik kita yang lain.

Mungkin ada antara kita yang Allah jadikan anak yang memang suka berbakti kepada ibu dan ayah. Suka menjadi penyejuk hati dan ayah. Sekalung tahniah dan kesyukuran diucapkan. Namun kita kadang-kala terkilan dan sedih kerana ada juga dikalangan adik beradik kita yang suka menyusahkan hati ibu dan ayah, yang menyebabkan ibu tidak kering airmata, ayah tidak putus mengeluh. Jadi apa yang kita perlu lakukan???

Dari pengalaman diri yang cetek ini. Janganlah terlalu memandang hina dan menyalahkan mereka. Kerana mereka sedang diuji.... bukankah setiap hamba Allah itu diuji. Bantulah mereka untuk melalui ujian tersebut dan bantulah juga mereka dengan kita berusaha menyenangkan hati ibu dan ayah yang gundah. Namun jangan lupa ingatkan mereka dan diri kita, antara balasan yang Allah telah bagi di dunia lagi adalah balasan kepada anak yang menderhaka kepada orang tuanya, yang menyusahkan orang tuanya... Kemudian menunggu pula balasan yang lebih dasyat di akhirat. Naudzubillah...

Jadi persoalannya sekarang sudah terbalaskah jasa ibu dan jasa ayah .... Sedangkan parut dan luka di hati mereka tidak mampu kita hilangkan, tidak mampu kita ubatkan????

Bersambung.... insyaAllah


Anak yang terhutang jasa

Rose

25 Januari 2011
1.29 am

No comments: